Wilayah Pemerintahan Khalifah Al-Andalus

Maklumat lanjut: Penaklukan Hispania oleh Kekhalifahan Umaiyah

Zaman Khalifah
  •      Nabi Muhammad (saw), 622–632 M
  •      Kekhalifahan al-Rasyidin, 632–661 M
  •      Kekhalifahan Umaiyah, 661–750 M
  • Wilayah al-Andalus, c.720 M

    Dalam tempoh pemerintahan Khalifah Umaiyah Al-Walid I, panglima Berber Tariq bin Ziyad mengetuai angkatan kecil yang mendarat di Gibraltar pada April 30, 711 M, diminta untuk membantu dan campur tangan dalam perang saudara Visigoth. Selepas kemenangan muktamad terhadap Roderic di Pertempuran Guadalete pada Julai 19, 711, Tariq bin Ziyad, bersama-sama gabenor Arab Ifrikiyyah, Musa bin Nusayr, menakluk sebahagian besar negeri Visigoth selepas menjalankan kempen peperangan selama tujuh tahun. Mereka menyeberang banjaran Pyrene dan menakluk Septimania, wilayah Visigoth di selatan Perancis.

    Sebahagian besar semenanjung Iberia menjadi wilayah pemerintahan Umaiyah yang disebut al-Andalus. Wilayah yang ditakluk diatur sebagai wilayah di bawah pengelolaan Ifrikiyya; justeru, dalam dekad-dekad awal, gabenor-gabenor al-Andalus dilantik oleh Amir di Kairouan dan bukannya Khalifah di Damsyik. Ibu negeri wilayah terletak di Cordoba, dan anak tanah jajahan terawal bertaburan di beberapa tempat – kolonis atau peneroka Arab ditempatkan di bahagian selatan dan timur, sementara peneroka Berber ditempatkan di bahagaian barat dan tengah. Pembesar-pembesar Visigoth yang tunduk kepada pertuanan Islam dibenarkan untuk mengekalkan pegangan tanah feudal masing-masing (terutamanya di Murcia, Galicia dan Lembah Ebro). Visigoth yang menentang pemerintahan Muslim berlindung di tanah tinggi Cantabria, di mana mereka menubuhkan kerajaan Asturias, negeri pemerintahan saki-baki Visigoth.

    Pada tahun 720-an, gabenor-gabenor al-Andalus melancarkan beberapa pencerobohan sa'ifa terhadap Aquitaine. Duke Odo Agung dari Aquitaine merayu kepada Charles Martel datuk bandar bangsa Frank, agar membantu dan menawarkan untuk meletakkan dirinya di bawah kedaulatan Carolingian. Charles Martell mengalahkan pasukan penceroboh al-Andalus dalam Pertempuran Poitiers pada tahun 732. Pada tahun 734, al-Andalus melancarkan serangan ke arah timur, menawan Avignon dan Arles dan menakluki sebahagian besar wilayah Provence. Pada tahun 737, mereka merentasi lembah Rhone sehingga ke ilayah Burgundy. Charles Martel dengan bantuan Raja Liutprand dari Lombard, menyerang Burgundy dan Provence dan berjaya mengusir para penceroboh dalam tahun 739.

    Ruang dalaman Katedral Cordoba, sebelumnya Masjid Agung Cordoba. Katedral ini merupakan contoh seni bina Islam dalam gaya Umaiyah yang terunggul. Sebuah masjid dibina di atas tapak basilika (gereja) Saint Vincent Visigoth Kristian pada tahun 742 M. Bangunan kemudiannya ditakluk kembali pihak Kristian sebagai Catedral de Nuestra Señora de la Asunción pada tahun 1236 M.

    Cabaran daripada pihak Abbasiyah di timur empayar mengalih perhatian khalifah-khalifah Umaiyah (semasa itu di Damsyik) dan dengan itu wilayah-wilayah Islam di bahagian barat, iaitu Maghreb dan al-Andalus, terabai. Bermula dari tahun 745 M, puak Fihri, merampas kuasa di wilayah-wilayah barat dan memerintah seolah-olah wilayah-wilayah tersebut empayar persendirian keluarga — Abdul Rahman bin Habib al-Fihri di Ifrikkiya dan Yusuf al-Fihri di al-Andalus. Puak Fihri mengalu-alukan kejatuhan Umaiyah di timur Empayar Islam pada tahun 750 M, dan mencuba untuk mendapatkan persefahaman dengan pihak Abbasiyah dengan harapan mereka (al-Fihri) dapat mengekalkan pemerintahan di barat. Namun, Kekhalifahan Abbasiyah menolak cadangan itu dan sebaliknya menuntut al-Fihri berserah kepada mereka. Dengan itu pihak al-Fihri mengisytiharkan kemerdekaan dan menjemput (mungkin kerana ingin menyakitkan hati Abbasiyah) saki-baki Umaiyah yang telah dijatuhkan untuk berselindung di tanah-tanah jajahan mereka. Keputusan bersejarah itu kemudiannya membawa padah kerana sebagai anak dan cucu para khalifah, tuntutan pertuanan pihak Umaiyah lebih kuat daripada pihak al-Fihri. Pembesar-pembesar tempatan yang tawar hati dengan pemerintahan autokratik al-Fihri berkomplot dengan pihak Umaiyah yang berada dalam buangan untuk merampas kuasa daripada pihak al-Fihri.